Monday, 16 November 2015

PRA UNIVERSITY Daebakkk!!!!

Jangan pandang Form 6 sebelah mata !!!




To be honest, zaman form 6 lah yang paling best, relationship dengan member macam adik beradik, then relationship dengan cikgu macam mak ayah. Tapi ramai yang ingat form 6 ni susah. Actually, tak susah mana pon bila dah lalui. srsly memang best!. classmates yang giler giler and yang paling kecoh dalam form 6 Smk Ahmad Boestamam. Banyak benda yang kita lalui bersama. then class kita selalu menang class terbersih. rindu! bila pergi trip ke pangkor buat assignment kecoh nak bercuti bagai. Buat kk sampai lewat malam. Yang paling havoc bila class kita selalu kena panggil dekat perhimpuanan form 6. Apa yang kita plan semua menjadi even sambut birthday semua classmates dengan birthday amma, ibu, papa yeh, cikgu sazila dengan madam. Bila buat salah sikit semua rasa bersalah then mintak maaf kat amma. Bila time study ramai yang tidur sebab mengantuk but yang bestnya boleh makan dalam class. Siap open table kat belakang makan nasi kerabu Reza. hari hari jamuan. Then, bila sorang bawak bekal semua share and semua merasa even makanan tu sikit. kalau tak faham boleh tanya tanya member pasal study. semua nak tolong member dapat pointer tinggi. 



Satu je problem student bila dapat tawaran form 6. BAJU KURUNG kan ?


Nak final exam dah :)


Annual Dinner Pra-University 2013
Theme : Masquarade Mask


Annual Dinner Pra-University 2014
Theme : Garden 


Dah GRADUASI !!


Graduasi 2014 okay muka suci sangat ! bila dapat tamatkan zaman form 6 tu rasanya kalah orng bercinta hahahahahahahaha. okay srs ni betul tak tipu!

Now, sis dah sambung study dekat UNIVERSITI UTARA MALAYSIA dalam bidang IJAZAH SARJANA MUDA PENGURUSAN PEMBANGUNAN DENGAN KEPUJIAN. See! bila kita usaha tawakkal dan redha dengan jalan ALLAH mesti kita ada rezeki nak sambung study. Yang penting ! niat dalam hati sebab ALLAH maha mengetahui. To adik-adik yang stay form 6 berusaha betul-betul! Jangan anggap kita yang study kat sekolah setahun setengah tak dapat masuk U. Percaya pada diri sendiri ! fighting!

Saturday, 7 November 2015

SAJAK MERDEKA

KERANAMU MALAYSIA   
NUR DIYANA BINTI MOHD ROSLAN
240036
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

Keranamu Malaysia
Tanah ini lahir
Dari air mata dan janji
Tanah ini telah bertuankan sang pahlawan sakti
Telah disempurnakan oleh waktu 
Dari runtuhnya kota Melaka.
                      
Keranamu Malaysia
Tanah ini 58 tahun berdaulat
Darah dan air mata telah bersatu
Dalam luka luka darah
Sang pahlawan bangsa mengangkat senjata
Pada tengah malam sunyi untuk tanah bertuah ini.

Keranamu Malaysia
Tanah merdeka ini
Melakar sejarah sebuah cinta abadi
Atas dasar sehati sejiwa
Tatanglah semahunya wahai pewaris kemerdekaan
Semaikan budi dalam lubuk hati
Kekalkan wangi kedaulatan
Kerana tanah ini tanah merdeka.


Thursday, 29 October 2015

BAJET 2016




PEMBENTANGAN BAJET 2016

Oleh : Nur Diyana Binti Mohd Roslan

          Pada hari Jumaat bersamaan 23 Oktober 2015, Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Sri Najib Tun Abdul Razak telah membentangkan Bajet 2016 pada pukul 4.00 petang di Dewan Parlimen Malaysia. Pembentangan Bajet 2016 bermula sebaik sahaja ketibaan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Haji Mulia masuk ke dewan dan seterusnya lafazan doa di baca bagi memberkati majlis. Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 bacaan kali kedua telah dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan 1 iaitu YAB Dato Sri Najib Tun Razak. Dato Sri Najib telah mencadangkan bahawa mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1996 [Akta 406], membuat ketetapan iaitu suatu jumlah wang sebanyak tidak lebih dari lima puluh dua billion ringgit  (RM 52, 000, 000) dibelanjakan daripada Kumpulan Wang Pembangunan bagi tujuan dan butiran pembangunan. Pembentangan Bajet 2016 bertemakan "Mensejahterakan Kehidupan Rakyat" bertunjangkan 5 strategi utama iaitu:

  • Memperteguhkan ketahanan ekonomi negara
  • Meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau
  • Mempersiaga modal insan
  • Memperkasa agenda bumiputera
  • Meringankan kos sara hidup rakyat
  • Pengguna pra-bayar telco warga Malaysia akan dapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, dikredit terus mulai 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016.
  • GST dikecualikan bagi barangan makanan seperti susu bayi dan kanak-kanak berasas kacang soya dan susu organik, dhal, gula merah, mee kolok kering dan lain-lain.
  • GST turut dikecualikan ke atas semua jenis ubat terkawal di bawah senarai Racun kumpulan A, B, C & D.
  • Kelajuan Intenet luar bandar akan ditambah kelajuan 5 kali ganda daripada 5 Mbps kepada 20 Mbps.
  • Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara-Johan Setia, Klang dengan anggaran kos pembinaan RM10 billion mula dibina 2016, siap pada 2020.
  • RM 200 juta menaiktarafkan jalan di kawasan FELDA manakala RM 1.4 billion bagi membina serta naik taraf jalan luar bandar sepanjang 700 km di seluruh negara.
  • Pengecualian duti setem sebanyak 20% ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah. 
  • Projek Bus Rapid Transit KL-Klang pada kos melebihi RM 1.5 billion dan Bus Rapid Transit Kota Kinabalu pada kos hampir RM 1 billion akan dilaksanakan. 
  • Membina tambahan lagi 30 Sekolah Rendah, 27 Sekolah Menengah, 4 MRSM dan 5 SBP.
  • Bantuan persekolahan RM 100 akan diberikan kepada Pelajar Sekolah Rendah dan Menengah kepada isi rumah berpendapatan RM 3,000 dan ke bawah. 
  • Program Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada pelajar IPT sebanyak RM 250, 00 diteruskan pada Bajet 2016.  
  • Lebuh raya pertama iaitu Lebuh raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak akan bebas daripada bayaran tol.
  • Program e-Rezeki dan e-Usahawan akan diperluaskan ke seluruh negara untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.
  • Program Rumah Mampu Milik diperluaskan seperti PR1MA, Rumah Mesra Rakyat, Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Program Rumah Pertama dan Program Perumahan Rakyat.
  • Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama bagi individu yang belum memiliki rumah. Kerajaan akan membantu individu yang belum pernah memiliki rumah untuk mendapatkan bantuan deposit perumahan.
  • Gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam dinaikkan kepada RM 1,200 sebulan.
  • Kadar pencen minimum bagi golongan pesara kerajaan dinaikkan kepada RM 950 sebulan.
  • Melantik tetap pegawai lantikan Contract of Service yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.
  • Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2016 diteruskan dan kadar bayaran dinaikkan bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM 3,000 ke bawah dinaikkan daripada RM 950 kepada RM 1,000
  • BR1M 2016 kategori baru diperkenalkan bagi penerima dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan bawah RM 1,000 akan menerima sebanyak RM 1,050.
  • BR1M bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM 3,000 ke bawah ditingkatkan daripada RM 950 kepada RM 1,000
  • BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM 3,001 hingga RM 4,000 ditingkatkan daripada RM 750 kepada RM 800.
  • BR1M bagi individu bujang 21 tahun ke atas, pendapatan tidak melebihi RM 2,000 sebulan, bantuan ditingkatkan daripada RM 350 kepada RM 400.
  • BR1M bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian sebanyak RM 1,000 akan diteruskan.
  • Had Pelepasan Cukai : Had pelepasan cukai bagi setiap anak berumur bawah 18 tahun mulai taksiran 2016, digandakan daripada RM 1,000 kepada RM 2,000.
  • Anak-anak yang menyara ibu bapa walaupun tidak tinggal bersama diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak RM 1,500 masing-masing untuk ibu dan bapa dengan syarat ibu dan bapa masing-masing berumur 60 tahun ke atas tidak berpendapatan melebihi RM 2,000 sebulan.
  • Had pelepasan cukai Individu : Pelepasan cukai bagi pembayar individu yang pasangannya tidak mempunyai pendapatan, dinaikkan daripada RM 3,000 kepada RM 4,000.
  • Had pelepasan cukai dinaikkan daripada RM 6,000 kepada RM 8,000 bagi setiap anak 18 tahun ke atas yang sedang lanjutkan pengajian bagi tahun taksiran 2016.
  • Had pelepasan cukai sedia ada ibu bapa dengan anak Orang Kelainan Upaya (OKU) sebanyak RM 6,000. Jika anak melanjutkan pelajaran jumlah boleh dituntut sebanyak RM 14,000.
  • Bagi ibu bapa kepada anak-anak OKU yang lanjutkan pengajian, had pelepasan cukai dinaikkn daripada RM 6,000 kepada RM8,000 mulai tahun taksiran 2016.
  • Berkuatkuasa 1 Julai 2016, penyelarasan gaji minimum negara dinaikkan daripada RM 900 kepada RM 1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia.
  • Gaji minimum Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dinaikkan RM 920 sebulan daripada RM 800 bagi semua sektor kecuali perkhidmatan domestik/pembantu rumah.
  • Majikan yang gagal mematuhi peraturan gaji minimum di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia boleh dikenakan tindakan undang-undang. 
  • Bayaran khas bonus RM 500 bagi kakitangan atau penjawat awam akan dibayar pada Januari 2016.
  • Pesara kerajaan akan menerima bayaran bantuan khas atau bonus sebanyak RM 250 dan dibayar pada Januari 2016.

(Sumber : http://www.mysumber.com/ringkasan-intipati-kandungan-bajet-2016-belanjawan.html )


Rumusan yang dapat disimpulkan melalui pembentangan bajet 2016 ialah : 


    (Sumber : http://www.melvister.com/2015/10/intipati-isi-penting-pembentangan-bajet-2016-malaysia.html#ixzz3pX2OCStD )


              Selepas usul-usul pembentangan bajet yang dicadangkan oleh Perdana Menteri dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengumumkan mesyuarat ditangguhkan kepada hari Isnin bersamaan 26 Oktober 2015 jam 10.00 pagi. Kesimpulan yang dapat dirumuskan melalui bajet 2016 yang dibentangkan oleh pemimpin negara ialah setiap hasil input, ouput dan kesannya akan mempengaruhi pembangunan negara dan rakyat. 

    Friday, 16 October 2015

    HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT NEGERI KEDAH 2015



               Pada 10/10/2015 negara telah menyambut Hari Sukan Negara (HSN) yang pertama secara serentak di seluruh Malaysia. Acara ini merupakan julung kalinya dirai dan disambut dengan penuh meriah oleh seluruh warga Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan pembukaan Hari Sukan Negara di Padang Kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin. Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengumumkan Hari Sukan Negara akan disambut setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun. Kementerian Belia dan Sukan mengambil inisiatif melalui Hari Sukan Negara sebagai langkah proaktif dalam mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah 'Negara Bersukan'. Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah juga turut disambut dengan meriahnya di Padang Kawad Palapes Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok. Majlis sambutan Hari Sukan Negara merupakan program universiti yang wajib dihadiri oleh pelajar UUM. Segala aktiviti Ko-K telah digantikan dengan sambutan Hari Sukan Negara. Sepanjang majlis tersebut pelbagai aktiviti telah dirancang dan dijalankan pada hari tersebut.




              Sambutan bermula pada jam 7.00 pagi dan dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Kedah, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir dan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Aminuddin Omar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim. Mukhriz dalam ucapannya berkata Hari Sukan Negara sangat bermakna bagi memupuk sifat sukakan gaya hidup sihat. Selain itu, Mukhriz berkata sambutan Hari Sukan Negara dapat memupuk perpaduan dalam rakyat pelbagai kaum. Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah yang dihadiri kira-kira 10,000 orang termasuk pelajar UUM itu diisi dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah seperti senamrobik dengan kerjasama Persatuan Senamrobik Negeri Kedah (PESINAR) selama dua jam tanpa henti, Fun Walk (berjalan kaki 10,000 langkah), Fun Ride bersama Menteri Besar Kedah, aerobikton, cabutan bertuah, pendaftaran Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pameran. Seluruh rakyat Kedah memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara pada pukul 7.30 pagi di perkarangan Padang Palapes UUM daripada pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta. Kebanyakkan peserta yang mengambil bahagian rata-ratanya dari pelajar UUM sendiri. Peserta yang menyertai sambutan Hari Sukan Negara sungguh bersemangat. Peserta yang mengambil bahagian dalam acara merakamkan kenangan dengan bergambar bersama Menteri Besar. Sambutan berakhir pada jam 1.00 tengah hari dengan acara cabutan bertuah. 




    Sumber : Berita Akhbar Kosmo Online



    Thursday, 15 October 2015

    MAAL HIJRAH APA ERTINYA?




    "Perpaduan Nadi Transformasi Negara" ialah tema bagi sambutan Maal Hijrah 1437 pada tahun 2015. Maal Hijrah merupakan permulaan bulan hijrah kepada umat Islam seluruh dunia. Selain itu, Maal hijrah bukan sekadar sambutan semata-mata namun setiap umat Islam perlu mengetahui sejarah disebalik peristiwa Maal hijrah sebagai pedoman hidup.

    "Barang siapa yang berhijrah di jalan Allah nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (An- Nisa : 100).

    Petikan kandungan ayat al-Quran daripada surah An-Nisa di atas menyatakan bahawa sesiapa yang berhijrah ke jalan Allah dan rasul, mereka akan di limpahi rezeki yang luas dan di kurniakan pahala.  Sebagai umat Muhammad hijrah bererti berubah kepada yang lebih baik. Rasulullah s.a.w bersabda "Orang yang berhijrah itu ialah mereka yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah" (Riwayat Muslim). Oleh itu, umat Islam perlu berhijrah dan sentiasa beristiqamah untuk menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya.


    PENGERTIAN HIJRAH

    Maksud hijrah dari segi bahasa ialah berpindah manakala dari segi istilah pula hijrah bermaksud perpindahan Rasulullah s.a.w bersama-sama sahabat dari kota Mekah ke kota Madinah (Yathrib). Namun, menurut kandungan ayat al-Quran pengertian hijrah memiliki pelbagai makna kerana konsep sebenar hijrah adalah lebih mendalam dan meluas. 

    TUJUAN HIJRAH

    Tujuan Rasulullah s.a.w berhijrah adalah kerana baginda menerima perintah Allah untuk menyebarkan dakwah kepada umatnya. Seterusnya, baginda berhijrah untuk memperkukuhkan kedudukan agama bagi menyebarkan ajaran Islam. Erti sebenar hijrah kepada manusia ialah untuk berubah. Allah menyuruh hambanya untuk berhijrah kepada yang lebih baik kerana tanpa hijrah manusia akan terus leka. Gambar di bawah menunjukkan contoh pengertian yang mudah tentang hijrah kepada umat Islam
    .


    Sumber : Internet


    SEJARAH PERISTIWA HIJRAH

    Peristiwa hijrah sebenarnya sudah kita pelajari semasa di sekolah ketika kelas Pendidikan Islam. Namun begitu, sesetengah pihak mungkin kurang menghayati cerita di sebalik peristiwa hijrah. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyingkap kembali sejarah kronologi peristiwa hijrah yang ringkas di bawah. 

    • 620 Masihi - Beberapa orang Madinah (suku kaum Khazraj) bertemu Rasulullah secara sulit-Termeterai Perjanjian Aqabah Pertama 
    • 621 Masihi (tahun kesebelas kerasulan Nabi) - Perjanjian Aqabah Pertama dilakukan.
    Isi kandungan Perjanjian Aqabah Pertama :

    - Suku kaum Aus dan Khazraj hendaklah beriman kepada Allah dan Rasul.
    - Mereka hendaklah berjanji akanmembantu perjuangan Rasulullah s.a.w.
    - Mereka tidak akan melakukan amalan jahiliah seperti mencuri, minum arak dan membunuh bayi         perempuan.

    • 622 Masihi (tahun ketiga belas kerasulan Nabi) - Perjanjian Aqabah Kedua. Seramai 37 orang lelaki dan 2 wanita dari suku kaum Aus dan suku kaum Khazraj memeluk Islam. 
    Isi kandungan Perjanjian Aqabah Kedua : 
    - Suku kaum Aus dan Khazraj memeluk Islam dan mengukuhkan taat sedia kepada Rasulullah s.a.w
    - Suku kaum Aus dan Khazraj menjemput Rasulullah s.a.w dan golongan Muhajirin Mekah berhijrah   ke Madinah.
    - Mereka secara sukarela akan menyediakan tempat tinggal dan menjanjikan keselamatan Rasulullah     dan golongan Muhajirin serta menyatakan taat sedia mempertahankan Islam. 
    • Sehari sebelum hijrah - Musyrikin Quraisy merancang untuk membunuh Rasulullah dan mengepung rumah baginda.
    • Malam hijrah - Saidina Ali bin Abi Talib telah tidur di kamar Rasulullah bagi mengantikan tempat Rasulullah. Rasulullah terlepas daripada kepungan Musyrikin Quraisy.
    • 1 Rabiulawal bersamaan 12 September 622 Masihi - Rasulullah bertemu Abu Bakar As-Siddiq lalu memberitahu perintah Allah untuk berhijrah dan bersembunyi di Gua Thur - Meneruskan perjalanan ke Madinah dibantu oleh Abdullah bin Arqit.
    • Abdullah Bin Arqit - Menjadi pengintip dan menghilangkan jejak Rasulullah daripada dikesan Musyrikin Quraisy ketika dalam perjalanan menuju Madinah.
    • Baginda bersama Abu Bakar As-Siddiq berhenti di Quba' selama 4 hari - Membina Masjid Quba' (Masjid pertama dalam Islam).
    • 2 Rabiulawal (2 Julai 622 Masihi) - Rasulullah bersama Abu Bakar selamat tiba di Madinah dan disambut penuh meriah oleh golongan Ansar.
    (Sumber : Buku Teks Pendidikan Islam Tingkatan 4 bab 5) 


    SUMBER : INTERNET


    KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN HIJRAH
    • Hubungan persaudaraan antara golongan Ansar (Madinah) dan Muhajirin (Makkah) bertambah erat.
    • Melahirkan kehidupan yang lebih baik.
    • Wujud kiraan tahun hijrah dan takwin.
    • Nama Yathrib bertukar kepada Madinah (Kota Bercahaya)
    • Pembinaan masjid pertama dalam Islam (Masjid Quba')
    • Mewujudkan sikap bertolak ansur, ketabahan dan semangat sedia berkorban yang tinggi kepada agama.
    Sebagai umat Muhammad kita hendaklah sentiasa mengingati perjuangan dan pergorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan sahabat baginda dalam menegakkan agama Allah. Oleh itu, kita perlu bersabar dalam melakukan sesuatu perkara. Kesimpulannya, berhijrah itu perlu dalam setiap diri manusia. Apakah erti sebenar hijrah dalam diri anda? Tepuk dada tanya Iman. 



    Tuesday, 13 October 2015

    Pantun UUM

    NUR DIYANA BINTI MOHD ROSLAN

    240036

    FROM SINTOK WITH LOVE <3

    Dari Perak mai ke Kedah,
    Dapat tawaran masuk universiti,
    Minggu orientasi berakhir sudah,
    Ilmu, budi dan bakti pegangan siswi.

    Daftar masuk bulan sembilan,
    Tunggu tawaran penuh kesabaran,
    Universiti Utara Malaysia tempat sambungan,
    Biru warna lagu kehormatan.

    Dpp Bsn tersergam indah,
    Tempat penginapan siswi pertiwi,
    Ragam siswi banyak karenah,
    Barisan pentadbir amanah berdedikasi.

    Hashtag Uumisthebest ikutan semasa,
    Trending hashtag masuk berita,
    Hasil usaha idea sang pencipta,
    Seluruh warga bersorak gembira.

    Cantik bergaya siswa dan siswi,
    Etika pakaian lambang peribadi,
    Pergi ke kelas bersemangat jati,
    Matlamat berjaya sentiasa di hati.

    Wednesday, 7 October 2015

    2015 : DUGAAN MENCARI HAJI MABRUR 2015



    CABARAN MENCARI HAJI MABRUR 2015

     Sumber : Internet 
                                                                                                 
              Perjalanan mencari “Nur Ilahi” bagi khalifah sang Pencipta di dunia yang fana ini telah terhenti seketika apabila digemparkan dengan berita sedih mengenai kejadian kren jatuh di tanah suci Mekah al-Mukarramah. Insiden ini berpunca daripada pukulan angin yang kuat akibat dari ribut pasir yang membadai kota Mekah.

              Berita mengenai tragedi ini melibatkan jumlah angka korban terkini telah meningkat seramai 107 orang jemaah haji yang disahkan terbunuh susulan dihempap kren berikutan ribut pasir dan hujan lebat pada pukul 5.45 petang (Jumaat) 11 September 2015 waktu tempatan manakala seramai 238 lagi jemaah haji dilaporkan cedera parah menurut kenyataan ketua pengarah Jabatan Pertahanan Awam Arab Saudi yang disiarkan oleh rangkaian televisyen Al-Ikhbariya di Masjidil Haram. Lokasi insiden berkenaan diarahkan ditutup seketika bagi memudahkankan kerja menyelamat mangsa dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah oleh pihak berkuasa Arab Saudi yang terlibat. Sementara itu, pihak Lembaga Tabung Haji Malaysia memainkan peranan penting dalam memaklumkan berita terkini mengenai kejadian ini dari semasa ke semasa kepada keluarga jemaah haji dari Malaysia.

    Kronologi Insiden Kren Jatuh di Masjidil Haram


     Sumber : Internet

              Kejadian ini telah membuktikan bahawa kekuasaan sang Pencipta alam menunjukkan hamba-Nya hanyalah insan yang lemah tidak berdaya dalam mencari “Nur Ilahi” di muka bumi ini. Sebahagian daripada mangsa yang terselamat dalam insiden tersebut mengalami trauma namun mereka bersyukur kerana terselamat walaupun mengalami kecederaaan. Sebahagian besar mangsa yang cedera dalam insiden berkenaan telah ditempatkan di Pusat Perubatan Pakar Al Noor, Mekah. Menurut Pengarah Perubatan Pakar Al Noor, Dr Salem Baguifer berkata kesemua mangsa yang dirawatnya sangat trauma dengan kejadian yang tidak diduga itu. Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais, imam masjid Al-Haram memberi jaminan bahawa pihak berkuasa Arab Saudi akan membantu dan memastikan kesemua yang tercedera itu dapat menunaikan ibadah haji yang akan bermula tidak lama lagi dengan sempurna. 


    Siaran Akhbar Tabung Haji Malaysia



    Senarai Nama Jemaah Haji yang Tercedera



    Sumber :  Laman Rasmi Muka Buku Lembaga Tabung Haji Malaysia

              Seterusnya, Lembaga Tabung Haji Malaysia telah mengesahkan 6 jemaah haji Malaysia cedera dalam insiden tersebut. Bagaimanapun, menurut laporan terkini pada 14 September 2015, seramai 5 orang jemaah haji Malaysia telah disahkan meninggal dunia. Senarai nama 5 orang mangsa yang terkorban telah dikenal pasti sebagai :

    Allahyarhamah Zainun Taha ,69 tahun - Ampang, Selangor.
    Allahyarhamah Rusiah Suar, 56 tahun - Sungkai, Perak.
    Allahyarhamah Siti Nuroshlizan Zulkifli, 37 tahun -Tanah Merah, Kelantan.
    Allahyarhamah Rohana Ismail, 54 tahun - Kuala Krai, Kelantan.
    Allahyarhamah Munah Jusoh, 73 tahun- Cherang Ruku, Kelantan.
      
    (Sumber : Berita Awani)

    Sidang Media Tabung Haji Malaysia


    Sumber : Berita Awani 

              Selain itu, pihak Tabung Haji Malaysia juga telah membuat sidang media untuk mengumumkan perkembangan berita mengenai insiden kren jatuh kepada seluruh rakyat Malaysia. Kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan pihak tabung haji sentiasa di nanti oleh keluarga jemaah haji yang terlibat. Detik-detik cemas insiden kren jatuh di Masjidil Haram telah dirakam dan dimuat naik ke laman muka buka dan youtube.


    Sumber : Youtube 


              Beberapa hari selepas berita sedih mengenai insiden kren jatuh di Masjidil Haram yang menyayat hati seluruh pelosok dunia, negara turut dikejutkan lagi dengan berita mengenai rempuhan jemaah haji yang berlaku di Mina semasa jemaah haji sedang menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu ibadah melontar Jamrah pada jam 11.30 pagi khamis waktu Arab Saudi. Sejurus selepas insiden itu berlaku, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Nayef telah mengarahkan siasatan dijalankan untuk mengenalpasti punca berlakunya insiden yang telah mengorbankan lebih 717 nyawa yang tidak berdosa dan mengakibatkan lebih 863 jemaah haji mengalami kecederaan. Seorang jemaah haji Malaysia yang dikenali sebagai Zulkifli Samad, 50 tahun dari Johor telah terkorban dalam rempuhan di Mina. Arwah Zulkifli Samad difahamkan tersasar dari kumpulan haji Malaysia lalu terlibat dengan insiden berkenaan.  Kira-kira 4,000 anggota pasukan Pertahanan Awam Arab Saudi bersama kumpulan dari Palang Merah Arab Saudi telah dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu membawa jemaah haji ke laluan yang lebih selamat dari lokasi rempuhan yang huru-hara dengan umat manusia. Cuaca yang terik dipercayai membawa kepada kejatuhan mangsa rempuhan jemaah haji sehingga membawa kepada kematian. Selain itu, sikap jemaah haji tidak sabar menyebabkan jemaah haji bersaingan untuk mendapatkan ruang yang lebih selesa semasa melontar. Insiden rempuhan  tersebut berlaku di pintu masuk jambatan jamrah berhampiran jalan 204 yang merupakan jalan utama jemaah haji ke kawasan melontar di Mina. 



    Gambar 1 : Zulkifli Samad



    Sumber : Internet 

    Keadaan semasa melontar Jamrah di Mina 


     Sumber : Internet

    Keadaan selepas rempuhan di Mina 


    Sumber  : Internet

               Kesimpulannya, perjalanan dalam mencari syurga Al - Ahad  bagi khalifah dunia pada tahun ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai tanpa usaha dan istiqamah secara berterusan. Sebagai hamba Allah yang hina kita perlu redha dengan qada dan qadar  serta percaya dengan ketentuan sang Pencipta kerana semuanya urusan duniawi telah ditulis di Luh Manfuz.