Friday, 16 October 2015

HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT NEGERI KEDAH 2015



           Pada 10/10/2015 negara telah menyambut Hari Sukan Negara (HSN) yang pertama secara serentak di seluruh Malaysia. Acara ini merupakan julung kalinya dirai dan disambut dengan penuh meriah oleh seluruh warga Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan pembukaan Hari Sukan Negara di Padang Kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin. Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengumumkan Hari Sukan Negara akan disambut setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun. Kementerian Belia dan Sukan mengambil inisiatif melalui Hari Sukan Negara sebagai langkah proaktif dalam mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah 'Negara Bersukan'. Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah juga turut disambut dengan meriahnya di Padang Kawad Palapes Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok. Majlis sambutan Hari Sukan Negara merupakan program universiti yang wajib dihadiri oleh pelajar UUM. Segala aktiviti Ko-K telah digantikan dengan sambutan Hari Sukan Negara. Sepanjang majlis tersebut pelbagai aktiviti telah dirancang dan dijalankan pada hari tersebut.




          Sambutan bermula pada jam 7.00 pagi dan dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Kedah, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir dan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan, Aminuddin Omar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim. Mukhriz dalam ucapannya berkata Hari Sukan Negara sangat bermakna bagi memupuk sifat sukakan gaya hidup sihat. Selain itu, Mukhriz berkata sambutan Hari Sukan Negara dapat memupuk perpaduan dalam rakyat pelbagai kaum. Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kedah yang dihadiri kira-kira 10,000 orang termasuk pelajar UUM itu diisi dengan pelbagai aktiviti sukan dan riadah seperti senamrobik dengan kerjasama Persatuan Senamrobik Negeri Kedah (PESINAR) selama dua jam tanpa henti, Fun Walk (berjalan kaki 10,000 langkah), Fun Ride bersama Menteri Besar Kedah, aerobikton, cabutan bertuah, pendaftaran Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pameran. Seluruh rakyat Kedah memeriahkan sambutan Hari Sukan Negara pada pukul 7.30 pagi di perkarangan Padang Palapes UUM daripada pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta. Kebanyakkan peserta yang mengambil bahagian rata-ratanya dari pelajar UUM sendiri. Peserta yang menyertai sambutan Hari Sukan Negara sungguh bersemangat. Peserta yang mengambil bahagian dalam acara merakamkan kenangan dengan bergambar bersama Menteri Besar. Sambutan berakhir pada jam 1.00 tengah hari dengan acara cabutan bertuah. 




Sumber : Berita Akhbar Kosmo Online



No comments:

Post a Comment